Tuesday, August 17, 2010

C-KTM

Semalam ada tazkirah kat surau yg membincangkan pasal HATI yang berkait dengan C-KTM. Memang dah tau benda2 ni tapi kadang2 buat2 lupa. Apa yang ada dalam C-KTM memang aku banyak buat. Balik rumah aku masukkan dalam blog.

Perkara yang mengeras & mematikan hati (C-KTM):
a) Cakap banyak – terlalu banyak bercakap perkara yang sia-sia, mengumpat, mengata, bergurau melampaui batas dll.
“Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya.Dan barangsiapa yang banyak dosanya,nescaya neraka lebih utama baginya”(Riwayat Abu Naim)

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam”. (Riwayat Bukhari & Muslim)
“Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya”. (Riwayat At-Tarmizi)

Orang yang bercakap sedikit bukan bermakna dia bodoh (kurang cerdik) atau dia tiada ilmu. Tetapi, ia adalah lumrah manusia. Segala ciptaan Allah ada kebaikan. Mulut adalah satu senjata yang amat berbahaya jika dibandingkan dengan lain-lain senjata yg ada bukan? Kerana mulut badan binasa dan kerana mulut lari rakan-rakan.

b) Ketawa yang melampau – banyak ketawa yang melampaui batas tanpa kawalan & segan silu. Memang begitulah manusia. Islam pun tidak pernah melarang umatnya yang mahu menyatakan rasa kegembiraan mereka dengan ketawa. Namun selaras sebagai agama unggul yang sarat dengan pelbagai adab dan disiplin, ada batas ketawa yang harus dipatuhi. Ini bukanlah suatu kongkongan sebaliknya menjadi panduan agar orang islam tidak dipandang rendah martabatnya oleh bukan islam.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak, sebagai pembalasan dari apa yang mereka kerjakan." (Surah At-Taubah: 82)

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Riwayat Ahmad dan At-Tarmidzi)

Hati yang sudah mati akan memudahkan syaitan menakluki dan merajai diri, seterusnya akan membawa individu ke lembah hina dan menyeleweng dari landasan kebenaran. Jika hati sudah mati, punahlah keperibadian manusia. Malah jika hati sudah rosak, maka binasalah juga maruah diri. Sementara seorang abid, Abdullah bin Abi Yu'la pernah berkata: "Adakah kamu masih bergelak ketawa sedangkan kain kafanmu sudahpun dikeluarkan dari istana Allah." Muhasabahlah diri. Ketawalah sebagai suatu penyataan kesyukuran tetapi jangan sampai mematikan hati!

c) Banyak Tidur – Ulama terkemuka berkata, kehidupan manusia sehari-hari dibahagikan kepada tiga iaitu lapan jam untuk taat dan beribadat kepada Allah, lapan jam mencari nafkah dan baki lapan jam lagi untuk beristirahat dan tidur. Tidur yang berlebihan dan terlalu banyak akan mengakibatkan hati mati, badan terasa berat, waktu terbuang sia-sia, suka lupa dan malas. Kerananya ada tidur yang dimakruhkan dan ada tidur yang berbahaya, tidak membawa kemanfaatan bagi badan. Tidur yang bermanfaat adalah tidur ketika betul2 rasa sangat mengantuk. Tidur di permulaan malam lebih bermanfaat daripada tidur di akhir malam. Tidur di pertengahan siang lebih baik daripada tidur pada waktu pagi dan petang.

Setiap kali tidur yang mendekati pagi dan petang hari, maka potensi kemanfaatannya sangat minimum sementara potensi kemudharatannya sangat besar, terutama tidur pada waktu asar dan pada waktu pagi. Dimakhruhkan seseorang untuk tidur setelah selesai solat subuh dan matahari terbit. Kerana saat ini merupakan permulaan siang, kuncinya siang, waktu turunnya rezki, waktu pembahagian rezki dan turunnya keberkahan. Oleh kerana itu, cubalah sedaya mungkin untuk elak daripada tidur pada waktu tersebut, kecuali terpaksa sangat.

Jadi, tidur yang normal dan yang baik adalah tidur pada separuh malam yang pertama dan seperenam dari malam yang terakhir iaitu sekitar sesudah solat isya’. Ini tidur yang normal menurut para doktor.

Selain itu, tidur yang tidak baik adalah tidur pada permulaan malam, menjelang matahari terbenam. Rasulullah melarang tidur pada saat tersebut.

Banyak tidur hanya menyia-nyiakan usia hidup, meninggalkan solat tahajjud, menyebabkan watak tumpul dan keras hati. Padahal umur merupakan harta manusia yang paling berharga. Sementara itu, tidur juga boleh menyebabkan kematian. Kerananya, banyak tidur dapat mengurangi umur, juga mengurangi keutamaan tahajjud. Orang yang banyak tidur pasti banyak meninggalkan solat tahajjud. Sekalipun dia tetap dapat melaksanakannya, maka dia tidak akan dapat merasakan manisnya ibadah.

d) Banyak Makan – perut yang sentiasa kenyang boleh menjadikan kita malas, susah belajar & keras hati. Luqman Al-Hakim menasihati anaknya, “Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.” Abdullah bin Mas’ud berkata, “Empat perkara yang mengelapkan hati atau melembapkan otak: perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan.” Berkata Dzunnun: “Saya tidak pernah kenyang kecuali saya berbuat maksiat atau berkeinginan untuk bermaksiat”. Berkata ‘Aisyah r.aha:“Bid’ah pertama yang terjadi setelah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam adalah kenyang sesungguhnya suatu kaum ketika kenyang perutnya keras nafsunya untuk mendapatkan dunia” .

Terlalu banyak makan boleh menyebabkan enam pekerti tercela. Ia adalah:

- Hilangkan rasa takut dan takwa kepada Allah.

- Berat untuk taat beribadat.

- Hilang kasih sayang sesama makhluk kerana menganggap orang kenyang itu sama sepertinya.

- Gagal memahami dan sukar memahami kehalusan makna ketika mendengar pesanan yang baik.

- Mengundang pelbagai penyakit.

- Sebarang nasihat atau pesanan yang diberikan orang yang terlalu kenyang, tidak dapat meresap ke dalam hati orang yang mendengarnya.


Wallahualam