Thursday, August 25, 2011

TRANSI

Saya nak berkongsi sikit pasal tazkirah yang disampaikan semalam berkenaan elemen atau anasir yang mempengaruhi manusia. Pada umumnya, elemen tersebut ada 6 atau secara mudah dikenali sebagai TRANSI.
1) T = Tanah. Sifat yang dipengaruhi oleh kejadian asal manusia iaitu tanah. Tanah mempunyai sifat kurang baik kerana banyak perkara-perkara negatif berlaku di atasnya seperti tempat kumbahan, maksiat atau perkara yang kotor. Jadi ia adalah sifat negatif kepada manusia.
2) R = Ruh. Ruh merupakan penyumbang sifat positif yang mana ia lebih mengajak manusia untuk berbuat baik. Tanpa ruh, jasad manusia tidak berguna & bernyawa.
3) A = Akal. Ia juga mempunyai sifat positif pada dasarnya. Akal yang waras dapat memberitahu manusia halal/haram atau baik/buruk. Bagaimanapun, ia boleh bertukar kepada negatif jika Hati yang menjadi Raja & menguasai akal. Ini yang berlaku apabila manusia tidak meletakkan akal pada tempatnya & akan menjatuhkan diri lebih bawah dari sifat haiwan.
4) N = Nafsu. Ia mempunyai sifat negatif. Nafsu merupakan salah satu saluran utama syaitan untuk merosakkan manusia.
5) S = Syaitan. Yang ni confirm negatif. Ada yang mengatakan pada bulan puasa syaitan dibelenggu hanyalah syaitan yang telah bersumpah dihadapan Allah untuk merosakkan manusia selepas Allah melaknatnya kerana tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam. Syaitan lain pula telah dilemahkan kuasa, WALLAHUALAM.
6)I = Iman. Inilah sifat positif terakhir yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia bagi menyelamatkan diri dari seksa api neraka. Tanpa iman, manusia tidak berharga kerana iman menjadikan manusia orang yang bertakwa (Al_Hujurat - ayat 13).

Jika kita lihat keenam-enam elemen di atas yang mempengaruhi sifat manusia di bahagikan sama 3 -3 iaitu: tiga elemen positif (Akal, Ruh & Iman) manakala elemen negatif juga ada tiga (Nafsu, Syaitan & Tanah). Paksi bagi elemen positif ialah Iman dan elemen negatif ialah Syaitan.

Secara rasional, ada beberapa perkara yang menyebabkan orang islam mudah & ringan untuk melakukan ibadah di bulan puasa:
a) Di bulan Ramadhan pintu neraka ditutup & aura neraka tidak terkena manusia dimukabumi. Pintu Syurga pula akan dibuka & auranya terpancar ke atas semua yang ada dimukabumi. Oleh itu, tidak hairanlah manusia akan menjadi lebih mudah beribadah, tenang & menjadi lebih baik berbanding bulan-bulan lain.
b) Rahmat Allah yang melimpah ruah di bulan Ramadhan berbanding bulan biasa.
c) Paksi utama elemen negatif iaitu Syaitan telah dibelenggu. Ia juga mengakibatkan elemen negatif lain juga semakin lemah. Tambahan pula, di bulan puasa yang mengkehendaki kita berlapar. Berlapar ini adalah ubat terbaik bagi mendidik nafsu.

Bagaimanapun, tidak hairanlah ramai orang islam mudah melakukan ibadah dibulan puasa ini kerana 3 elemen positif lawan 2 negatif. Tetapi masih ramai juga yang membiarkan elemen negatif ini menang walaupun ketiadaan paksi utama Syaitan. Ada keadaan di mana berlaku 'win-win situation'. Contohnya bila kita solat berseorangan dirumah, elemen positif menang kerana melakukan ibadah & mengikut perintah Allah. Tetapi pada masa yang sama juga, elemen negatif juga menang kerana kita tidak bersolat secara jemaah disurau/masjid yang mana ia juga merupakan perintah Allah.

Thursday, August 18, 2011

Mutiara Kata & Petikan Surah

Sesetengah orang memang suka dengan mutiara kata atau kata-kata yang boleh memberikan inspirasi atau motivasi yang boleh menenangkan hati. Kata Mutiara tentunya terlahir dari perenungan yang dalam dan kebijaksanaan dari seseorang yang memiliki pemikiran dan pemahaman akan makna. Jadi di sini saya nak berkongsi beberapa koleksi mutiara kata & petikan surah yang mungkin dapat membantu merawat hati yang sentiasa berbolak-balik.

1. Kalau aku tidak dapat apa yang aku sukai, aku mesti belajar menyukai apa yang aku dapat.
2. Bertindak memahami dahulu kemudian baru difahami.
3. Mencintai itu membebaskan, manakala memiliki itu cenderung mengikat, membelenggu dan mengawal.
4. Kita sendiri cuba sedaya upaya menjadi orang yang baik, Insya-Allah kita akan dikurniakan orang yang baik sebagai pasangan hidup kita.
5. Bersabar atas karenah pergaulan dengan manusia adalah tuntutan agama.
6. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.
7. Semiskin-miskin orang ialah orang yang kekurangan adab dan budi pekerti.
8. Manusia yang berhati suci adalah manusia yang banyak menangis daripada ketawa. Didiklah hati dengan keihklasan dan kesucian agar liku-liku kehidupan ini menjadi lebih bermakna dan mengikuti arus perubahan kedewasaan.
9. Sesiapa yang tidak pernah merasai kepahitan tidak akan mengenal kemanisan.
10. Akal itu menteri yang menasihati, Hati itu ialah raja yang menentukan, Harta itu satu tamu yang akan berangkat, kesenangan itu satu masa yang ditinggalkan.
11. Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat.
12. Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama.
13. Hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian.
14. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri.
15. Didikan untuk mencintai akhirat melebihi dunia dengan ’tauhidic mindset’ itulah terasa betapa kecilnya penderitaan dunia berbanding penderitaan akhirat. Justeru, menerima kesusahan dunia yang sedikit dan sementara demi mengenangkan nikmat akhirat yang lebih baik dan selama-lamanya.
16. Pasangan mu adalah cermin kepada diri mu sendiri.
17. Turutan Cinta: Nombor 1 Allah, Nombor 2 Rasulullah, Nombor 3 ibu, nombor 4 bapa, Nombor 5 isteri.
18. Cinta ialah “rasa ingin bertanggungjawab”.
19. Cinta yang dibina atas dasar cinta Allah akan menjadikan perkahwinan sebagai taman atau kebun percintaan. Mungkin sekali-sekala bergolak juga, tetapi atas dasar ibadah dan tanggungjawab, cinta dapat dibina semula… terlentur tetapi tidak patah. Genting tetapi tidak putus. Justeru bajailah cinta itu selalu dengan solat, zikir, membaca al-Quran dan sedekah.
20. Kita lahir dengan 2 mata dan 2 telinga, tapi kita hanya diberi 1 buah mulut. Kerana mulut adalah senjata yang sangat tajam, mulut bisa menyakiti, bisa membunuh, bisa menggoda, dan banyak hal lainnya yang tidak menyenangkan. Sehingga ingatlah bicara sesedikit mungkin tapi lihat dan dengarlah sebanyak-banyaknya.
21. Kamu dapat mengenal lebih banyak tentang diri seseorang itu dari adab dan pertanyaannya, bukan dari jawapan-jawapannya.
22. Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik.
23. Sabar adalah jalan keluar bagi orang yang tidak bisa menemukan jalan keluar.
24. Hidup memerlukan pengorbanan. pengorbanan memerlukan perjuangan. perjuangan memerlukan ketabahan. ketabahan memerlukan keyakinan. keyakinan pula menentukan kejayaan. kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.
25. Sesungguhnya orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya.
26. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Allah.
27. Hidup Pasti Ada Cabaran - [ Surah 2, Al-Baqarah: Ayat 155 - 156 ] “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa serta buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata ~ Innaalillahi wainnaa ilaihi raaji’uun (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali).”
28. Setiap Insan Ada Keupayaan - [ Surah 2, Al-Baqarah: Ayat 286 ] “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala dari kebaikan yang diusahakannya, dan ia mendapat siksa dari kejahatan yang dikerjakannya.”
29. Satu Kesukaran, Dua Kesenangan - [ Surah 94, Al-Insyiraah: Ayat 5 - 8 ] “Kerana sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.”
30. Taqwa Dan Tawakal - [ Surah 65, At-Talaq: Ayat 2 - 3 ] “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan); Dan mendatangkan rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan segala perkara yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan kadar dan masa bagi tiap-tiap sesuatu.”