Saturday, December 12, 2009

Umur 40 Tahun

Entah kenapa tetiba aku rasa macam tak keruan jer bila umur hampir 40 thn. Mungkin perubahan hormon, permulaan kematangan, metabolisme atau entah aku pun masih tercari2... Dulu selalu dngr orng kata lelaki life began at 40s....aku tak berapa percaya!

Rata2 blog & info yg aku dpt dlm internet memberikan bnyk makna angka 40 ni. Yang paling aku takutkan bila ada ulama yg mengatakan "sesiapa yg mencecah umur 40 thn & masih/makin kerap melakukan dosa, maka bersiaplah utk menempah tiket ke api neraka".

Dari segi psychology, aku rasa spt kembali balik masa umur belasan tahun yg masih mencari identiti, tidak stabil, agak pendiam, makin low profile, menyendiri, cepat merajuk......alamak banyak pulak sifat budak2 nih! tapi pada orang lain yg nak mencecah 40 thn, aku tak tau apa yg mereka rasa. Mudah2an aku tabah & lulus dgn ujian yg bakal aku tempuh selepas melewati 40 thn ni...insyaAllah. Antara nasihat bagi mereka yg mencapai umur 40 tahun ialah:
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritualisme
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga konsistensi dan continuity

Aku sempat search info berkenaan umur 40 thn utk dikongsi.

Artikel ini diambil dari sini, dan dikupas oleh Ustaz Zahazan Mohammed.

Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ia ke neraka Allah. (Riwayat Tabrani)

Soalan: Orang Barat mengatakan kehidupan bermula pada usia 40 tahun. Sementara dalam Islam, penentu kepada kebaikan atau sebaliknya ialah pada usia 40 tahun. Manakala dari sudut psikologi pula, usia 40 tahun merupakan fasa kedua remaja. Bagaimana pandangan Ustaz tentang usia 40 tahun sebagai titik permulaan untuk berubah?

Jawapan:

Imam Tirmizi membahaskan hadis ini dari sudut perspektif usia 40 tahun. Ujarnya, hadis ini adalah hadis yang daif atau lemah. Pun begitu, ia boleh dijadikan amalan tetapi tidak boleh dijadikan hujahan.

Apabila kita membandingkan atau membuat satu kajian berdasarkan kepada pengalaman, hadis ini ada logiknya. Mungkin ulama hadis mengatakan hadis ini daif, tetapi maknanya sahih atau dari sudut praktikal, amalannya tidak bercanggah de-ngan akidah dan dalam banyak hal, membuktikan ia betul.

Kenapa betul? Pertama, Nabi Muhammad sebelum menerima wahyu, hidup dalam keadaan tidak beragama tetapi menerima hidayahnya pada usia 40 tahun. Di sini, menjadi satu contoh yang baik untuk direnung bersama dan perkara ini tidak berlaku secara kebetulan kerana Allah s.w.t. tidak melakukan sesuatu perkara melainkan ada hikmah dan falsafah tertentu di sebaliknya.

Selain itu, sekiranya dilihat dari segi putaran hidup manusia, boleh dikatakan pada usia 40 tahun menjadi detik penentu tentang hala tuju masa hadapan. Kalau sebelum ini kehidupannya sentiasa happy go lucky tetapi pada saat usia mencecah 40 tahun, pastinya sudah terdetik di dalam fikiran dan hatinya untuk membina keteguhan dalam banyak hal kehidupan. Contohnya, pendidikan anak-anak, pengumpulan harta dan sebagainya.

Yang menariknya lagi, sebuah kajian yang sempat saya temui berdasarkan analisis penagih dadah, menunjukkan 70 peratus penagih yang berusia di bawah 35 tahun, mampu diubah menjadi warga yang produktif. Tetapi, apabila usia meningkat 36-45 tahun, hanya 30 peratus yang boleh berubah. Manakala bakinya akan kekal atau bertambah teruk. Fakta ini berdasarkan satu kajian saintifik semasa, analisis, statistik menunjukkan ada kebenarannya.

Jadi berbalik kepada hadis tadi yang dianggap hadis yang lemah, tetapi maknanya sahih dan berdasarkan kepada pengalaman manusia hebat iaitu Nabi Muhammad s.a.w. juga menunjukkan kebenarannya.

Bahkan, jika kita lihat kepada tokoh-tokoh Islam selepas Baginda seperti Fakhrul Razi, merupakan seorang yang lara, hidup dalam kelalaian tetapi pada usia 40 tahun, beliau tersedar dan kesedarannya berlaku apabila beliau melihat bagaimana berhadapan dengan kematian, dan yang memeranjatkan pada usia tersebut beliau berubah dan bertukar menjadi seorang yang alim dalam ilmu tafsir.

Kedua, titik tolak perubahan yang berlaku kepada hidup seseorang itu boleh berlaku walaupun pada usia 40 tahun tetapi tidak mustahil selepas itu tidak mahu berubah, maka ia akan terus lalai dan menghabiskan usia kehidupan dengan perkara yang tidak bermanfaat kepada diri juga kepada orang sekeliling.

Malah di Barat juga, mereka mengkaji seperti di dalam buku The Magic of Thinking Big yang ditulis oleh Dr. David Schaward, ahli psikologi dan profesor di sebuah universiti. Buku beliau ini terjual lebih 10 juta cetakan. Ia membahaskan tentang pro-ses kejayaan manusia sewal usia 20 tahun. Tetapi dari sudut kajian, menerusi beberapa orang tokoh korporat, didapati mereka berjaya dan kukuh kedudukannya adalah pada usia 40 tahun.

Kajian-kajian kemanusiaan ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembuktian terhadap kebenaran apa yang disebut di dalam hadis tadi. Bertepatan juga dengan satu teori dalam masyarakat Barat iaitu Life begins at 40 atau permulaan hidup berlaku pada usia 40 tahun.

Selain itu, orang Barat juga menganggap kecantikan seorang perempuan juga bukan pada usia 20an tetapi kecantikannya sampai pada usia 40 tahun. Kenapa? Ini kerana kecantikan tersebut dilihat dari segi holistik atau menyeluruh, iaitu bukan sahaja dari segi penampilan fizikal tetapi ia merangkumi sikap, misi dalam hidup, kejayaan mendidik anak-anak dan banyak lagi.

Oleh itu mengikut Barat pada usia 40 tahun inilah tahap atau klimaks kecantikan seseorang wanita kerana ia datang secara pakej atau sempurna.

Bahkan, budaya kerja di Perancis dan Eropah, di mana mereka sedang mencari satu penyelesaian kepada masalah kerja yang semakin menekan dan membebankan. Di antaranya, mencadangkan empat hari bekerja dan tiga hari rehat. Alasannya, hari pertama cuti untuk tujuan servis kenderaan, hari kedua untuk menguruskan rumah dan ketiga untuk keluarga.

Perubahan

Cetusan idea ini sebenarnya menjadi modal kepada satu pertubuhan hak asasi manusia yang dianggotai oleh mereka yang berusia lebih 40 tahun.

Hakikatnya tidak ada sesiapa yang menolak idea ini, malah ia telah dibentangkan di Parlimen Perancis. Ini membuktikan usia 40 tahun adalah usia yang matang fikiran, tindakan dan perubahan yang membawa natijah yang baik.

Maka dalam hal ini dapat digarapkan kebenaran dan ketelusan isu yang dibincangkan. Pertama, sejarah pelantikan Baginda Rasulullah s.a.w., kejayaan tokoh Islam, kajian-kajian moden berasaskan analisis, statistik dan negara maju juga mengakuinya.

Bagaimanakah pula sekiranya peningkatan usia ini tidak membawa perubahan yang baik, malah kecenderu- ngan seseorang itu kepada perkara maksiat atau berunsur negatif semakin menjadi-jadi. Adakah ini petanda atau penentu sikap ini berkekalan atau ada `cahaya’ yang tidak diketahui manusia?

Jika pada usia tersebut tidak menjadi satu titik tolak ke arah perubahan yang baik, maka dibimbangi selepas itu memang sukar hendak berubah.

Walau bagaimanapun, kita sewajarnya melihat hal ini dari sudut optimistik. Sebenarnya jika perkara ini dilihat dari sudut Islam, ia lebih kepada hidayah Allah s.w.t. Hidayah ini tidak terbatas dan diterima oleh orang tertentu sahaja, ia adalah milik Allah.

Apabila menyentuh perubahan manusia sama ada ia perlu berlaku atau tidak perlu berlaku, bila ia berlaku, hakikatnya ia di luar pengetahuan akal manusia.

Pun begitu, kaedah yang dipakai tadi iaitu berasaskan pengalaman semasa, kajian menunjukkan kepentingan berlaku pada usia tersebut tetapi ini juga tidak menafikan kebarangkalian seseorang untuk berubah menjadi baik selepas usia 40 tahun atau hampir dengan kematian.

Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. bermaksud: Manusia dihimpunkan di dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai setitis mani, 40 hari segumpal darah, 40 hari sebagai seketul daging, 40 hari berikutnya ditentukan jantina, amalan, rezeki, syurga atau neraka.

Dan di hujung hadis tersebut, Baginda bersabda: Kamu kena ingat, ada di antara kamu yang beramal di dalam hidupnya sebagai seorang ahli syurga sehingga orang melabelnya ahli syurga. Tiba-tiba pada penghujung hidupnya, dia telah melakukan satu perkara yang Allah murka kepada-Nya menyebabkan ia mati dalam kemurkaan Allah. Dan ada juga di kala-ngan kamu yang berlaku sebaliknya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini adalah hadis yang sangat menakutkan. Jadi pengajaran yang dapat diambil daripada hadis ini, ialah bahawa kehidupan kita ditentukan oleh husnul khatimah. Di antara doa yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi dan perlu kita amalkan iaitu, Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati manusia, tetapkanlah hatiku dalam ketaatan kepada-Mu.

Jelaslah di sini bahawa perubahan pada usia 40 tahun itu penting dan kita kena sentiasa mengawasi usia kita dan waktu yang diamanahkan kepada Allah kepada kita.

Bagi saya, perubahan boleh berlaku dengan syarat:

Pertama, perubahan berlaku sebagai hidayah daripada Allah.

Kedua, perubahan boleh berlaku dengan sebab kita membudayakan ilmu di dalam hidup kita dan ia boleh berlaku dengan pelbagai cara sejajar dengan kecanggihan.

Ketiga, perubahan ini penting dengan sebab pergaulan kita.

Keempat, kita kena sentiasa mengamalkan apa yang kita tahu, walaupun ia kecil.

Maka dalam soal melakukan perubahan ini, janganlah kita suka bertangguh-tangguh kerana banyak kerugiannya. Ini dibuktikan dan diperkukuhkan lagi dengan surah Ali Imran ayat 133 bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.

Mengapa Islam amat menitikberatkan soal usia dan apakah kepentingan usia dalam Islam?

Rasulullah s.a.w. bersabda: Dua nikmat yang manusia sering lalai dan alpa ialah kesihatan dan waktu atau usia yang Allah berikan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam al-Qurtubi bercerita di dalam bukunya, Tazkirah Tentang Kematian dan Perkara Berkaitan Akhirat, sebuah kisah yang berlaku di Mesir mengenai seorang Muazin yang sanggup murtad kerana ingin berkahwin dengan seorang perempuan beragama Kristian yang dilihatnya sewaktu hendak melaungkan azan. Tetapi hidupnya berakhir dengan kematian sebelum sempat bersama wanita tersebut.

Kesan daripadanya, jelas Imam al- Qurtubi, bagaimana usianya di sisi Allah yang sudah pastinya menjadi ahli Neraka kerana sanggup murtad hanya kerana hendak berkahwin dengan wanita Kristian tersebut.

Pengajaran daripada kisah ini, ialah manusia tidak mengetahui penghujung usianya dan hanya Allah s.w.t. Maha Mengetahui. Jadi, menjadi satu perkara yang penting, supaya umur yang diberikan dan diamanahkan oleh Allah sentiasa dimanipulasikan untuk mendatangkan pahala kepada kita.


Pada saya, jika sudah kehendak Allah hendak memberi hidayah yang sudah pasti hakNya, tidak kira lah pada umur berapa pun, pasti hidayah itu akan sampai pada siapa sahaja yang Dia kehendaki. Tetapi, hidayah perlu dicari. Jika langsung tiada niat dalam hati mahu berubah dan mencari sebuah hidayah, bagaimana mahu sampai hidayah ke dalam hati?

Mahalnya harga sebuah hidayah itu sehingga ramai yang tidak sanggup untuk berkorban demi sebuah hidayah. Ramai yang tidak sanggup mengorbankan kehidupan dunia yang sungguh tidak bernilai ini demi sebuah hidayah yang berharga.

Seperti yang kita tahu, sesuatu barang yang mahal, pastilah tinggi kualitinya dan bernilai sungguh pada diri kita. Begitu jugalah dengan sebuah hidayah yang mahal. Harganya melebihi apa pun kemewahan di dunia dan ia tidak ternilai dengan wang ringgit. Dan yang paling penting, ia sungguh bermakna dan penting dalam kehidupan ini. Tanpanya, bagaimana kita mahu menggapai syurga? Sama-sama lah kita berfikir dan mencarinya..

.:Saya mengingatkan diri saya bersama:.

4 comments:

  1. Assalamualaikum.. saya mohon share kat blog saya.. tq.

    ReplyDelete
  2. Nabi صلى الله عليه و سلم sebelum capai umur 40 hidup dlm kekafiran??

    أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمِ اَلَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُوْمُ وَ أَتُوْبُ إِلَيْه ....

    Bertaubatlah kamu... اَسْتَغْفِرُاللَهَ الْعَظِيْمَِ ....

    لا إله إلا الله محمد رسول الله

    ReplyDelete
  3. Mohon share. 2 tahun lg sya akan berusia 40 thun

    ReplyDelete